Anggota JPAM bersama penduduk melihat kabel yang dicuri.
PENDANG - Kebanyakan penduduk dan beberapa agensi kerajaan sekali lagi terpaksa menghadapi kesukaran untuk menjalankan tugas apabila kabel talian Telekom Malaysia (TM) berhadapan rumah Pegawai Daerah Pendang dekat Jalan Sungai Tiang di curi awal padi, semalam.
Dalam kejadian 4.30 pagi itu menyebabkan aktiviti kira-kira 300 penduduk dan 10 agensi kerajaan terjejas melibatkan beberapa kawasan antaranya Kampung Belakang Pendang, Banggol Petai, depan Sekolah Kebangsaan Pendang dan beberapa kawasan lain berhampiran.
Turut difahamkan agensi sekitar kawasan terbabit seperti Jabatan Penerangan Malaysia, Rela, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM), Lembaga Kemajuan Kedah (Keda), Jabatan Pertanian, Jabatan Kesihatan, Jabatan Kerja Raya (JKR), Jabatan Pertanian dan pejabat agama terjejas.
Penduduk, Wan Salleh Ismail, 56, yang tinggal berdekatan tempat kejadian berkata, dia terdengar bunyi enjin motosikal kuat di hadapan rumahnya, namun tidak menyangka kabel talian itu dicuri memandangkan ia baru sahaja diganti selepas dicuri awal bulan ini.
“Saya bangun untuk menunaikan solat bersama isteri dan tidak terdetik pula membuka pintu rumah untuk melihat. Pagi ini baru saya tahu kabel itu dicuri apabila anggota JPAM sedang melihat kabel yang dicuri di hadapan rumah,” katanya.
Sementara itu, Ketua Operasi JPAM Pendang, Mohd Izuddin Inus Meah berkata, kejadian itu kali kedua berlaku sehingga menyebabkan talian kecemasan 999 di jabatan itu gagal beroperasi.
“Kecurian ini begitu menjejaskan tugas JPAM dalam menjalankan tugas terutamanya berkaitan hal kecemasan seperti kemalangan, kes sakit dan sebagainya sehinggakan ada penduduk yang datang sendiri ke pejabat.
“Saya berharap agar pihak berkenaan dapat mengambil tindakan segera demi memudahkan tugas pelbagai agensi dan memudahkan perniagaan penduduk yang ada bergantung kepada perniagaan dalam talian,” katanya.
Dalam pada itu, Sinar Harian menghubungi TM Kota Setar untuk mendapatkan maklum balas berkaitan kejadian itu, namun individu yang berhak mengeluarkan kenyataan sedang menghadiri mesyuarat di Kuala Lumpur.
Sumber : Sinar Harian