Asal-usul nama Pendang
Blog GFB Pendang : http://gfbpendang.blogspot.com/
Pekan Pendang dibuka pada sekitar tahun 1800. Nama ‘Pendang’ dipercayai lahir daripada ‘pendiat’, perkataan Siam yang bermaksud tempat menangkap gajah. Dahulu, gajah liar banyak di kawasan Pendang. Menangkap gajah bukan perkara mudah. Satu parit yang panjang diperlukan untuk memerangkap gajah. Parit itu digali dengan ukuran lebarnya cukup-cukup untuk memuatkan seekor gajah. Gajah dikepung dan didorong supaya masuk ke dalam parit itu. Apabila gajah sudah berada di dalam parit, bahagian parit di belakang gajah itu segera ditimbus dengan tanah.
Dengan demikian gajah itu tidak dapat mundur untuk keluar dari parit tersebut. Sebaliknya gajah itu terpaksa mara kerana diasak oleh tanah timbusan di belakangnya. Gajah yang terhimpit itu dipaksa mara hingga sampai ke pendiat, tempat memberkas gajah di hujung parit. Pada setiap musim menangkap gajah, satu pesta berhampiran dengan pendiat diadakan. Pelbagai permainan tradisi seperti makyung, menora dan belaga ayam diadakan. Secara keseluruhannya pesta tersebut sangat meriah, namun adakala berlaku juga pergaduhan. Pergaduhan itu pula sering berakhir dengan pertumpahan darah kerana pengunjung tidak dilarang daripada membawa senjata seperti parang dan golok.
Pengunjung pesta di pendiat itu tidak terdiri daripada orang tempatan sahaja. Sebaliknya, mereka datang dari segenap pelusuk negeri Kedah dan bertutur dengan pelbagai loghat daerah. Daripada kepelbagaian loghat bahasa itu akhirnya perkataan ‘pendiat’ berubah menjadi ‘padang’. Lama-kelamaan perkataan ‘padang’ itu juga telah berubah, menjadi ‘pendang’. Pendang kekal sebagai nama tempat menangkap gajah itu. Biasanya gajah dari hutan Pendang dilatih sebagai binatang kenderaan pembesar-pembesar negeri. Gajah kuat, tahan lasak dan ditakuti binatang-binatang buas yang lain. Ciri-ciri ini menjadikan gajah kenderaan pengembara dan peredah hutan yang sangat sesuai.
Sumber : mykedah.org